January 12, 2013

Kegagalan Sebuah Penswastaan

"Cepat sikit Pak Mat. Saya dah lewat nak ke mesyuarat ni", kataku kepada Pak Mat. Bergegas lagi aku kali ini. Bukan sekali dua jadi macam ini. Hampir setiap kali mesyuarat kabinet diadakan aku akan sampai lewat. Tetapi setiap kali itulah aku menjadi orang yang terawal sampai.

Tahun ini genaplah 4 tahun aku dilantik menjadi menteri. Genap 4 tahun jugalah aku menjadi menteri yang tak pernah menggunakan khidmat iringan polis trafik. Bukannya apa, aku tak mahu menyusahkan orang kebanyakan. Masa berkhidmat dalam kerajaan dulu, aku selalu dilantik menjadi pegawai pengiring menteri dan raja. Kasihan aku tengok pemandu lain bila ditahan oleh trafik untuk bagi laluan kepada kami. Macam sampah sahaja, dipaksa member laluan kepada hamba rakyat  macam kami ini.

"Jalan sesak hari ni Dato'. Ada accident kot", balas Pak Mat kepadaku. "Nak call trafik tak?", tanya Pak Mat.

"Takpe, ikut je macam orang lain", jawabku.

Memang itupun kebiasaan aku. Selalu aku yang memandu sendiri. Normal macam pemandu lain. Boleh juga rasa susah. Cuma kadang-kadang aku terpaksa gunakan khidmat pemandu tua ini. Itupun sebab aku kurang arif jalan di ibu kota ini. Lagipun senang nak nampak kerosakan jalan, atau tengok orang dalam kesesakan lalulintas dan macam-macam lagi. Boleh cuci mata dengan gadis manis juga.

Selalu aku tertanya, Menteri Kesihatan ada turun hospital tak? Cuba jadi pesakit tunggu dari pagi ke petang semata-mata untuk dapatkan rawatan. Buat masa ini aku tak mahulah masuk campur urusan kementerian lain. Aku cuma menteri junior yang tiba-tiba diberikan sebuah kementerian yang paling penting dan banyak duit, Kementerian Kerja Raya.

Sedar tak sedar aku dah sampai ke lokasi. Segera aku berlari ke bilik mesyuarat. Seperti biasa akulah yang terawal.

10 minit kemudian barulah beberapa orang menteri lain sampai. Selepas 30 minit barulah Perdana Menteri masuk.

"Ok, semua dah hadir. Kita akan mulakan mesyuarat tergempar kita", dengan pantas Perdana Menteri memulakan majlis. Nampak macam ada masalah besar yang berlaku. Aku tertanya apakah masalah itu.

"Untuk pengetahuan semua, sekarang ini kita mengalami masalah kekurangan dana yang serius. Bukan sahaja dana untuk mengurus negara tapi dan untuk menghadapi pilihanraya tak lama lagi", jawab beliau tanpa perlu ditanya.

"Jadi sekarang saya mahu cadangan bernas dari tuan-tuan untuk mengatasi masalah ini"

Senyap semua hadirin.

Tiba-tiba Menteri Pertanian mengangkat tangan. "Bagaimana kalau kita naikkan harga tol, internet ataupun elektrik?"

Perdana Menteri diam sambil berfikir.

"Kita tak boleh naikkan harga tol lagi. Sejak kita menang pilihanraya 4 tahun lepas hampir setiap bulan harga tol naik. Saya tak mahu rakyat turun buat rusuhan lagi. Lagipun kalau ikut perjanjian, kita boleh tambah bilangan tahun perjanjian kalau tiada kenaikan tol berlaku. Itu pendapatan jangka panjang kita", jawab beliau sebelum kembali terdiam.

"Mengenai harga internet, kita tiada alasan untuk menaikkan harga. Servis sediada sekarang adalah teknologi kuno yang menggunakan copper line. TMNut tak mahu invest lagi untuk talian fiber selepas berjuta pengguna Unifive tak berpuas hati dengan servis sehingga terjadi demonstrasi di seluruh negara". 

"Manakala harga elektrik kita adalah yang termahal di dunia. Kita tak mampu lagi berbohong mengatakan harga elektrik kita lebih murah dari negara jiran. Dana TMB juga terhad untuk kita mewujudkan sebuah lagi syarikat penjana kuasa bebas (IPP). Lagipun kita dah ada hampir 200 syarikat IPP".

"Kalau Dato' mahu mencadangkan kita naikkan harga air, baik Dato' lupakan sahaja", sambung beliau selepas Menteri Pendidikan cuba mengangkat tangan. Segera juga dia menurunkan tangannya.

"Masihkan tuan-tuan ingat tragedi LAWAS?", tanya Perdana Menteri. Masakan kami lupa bagaimana LAWAS (Lembaga Air Wilayah Persekutuan dan Selangor) menjadikan pengguna sebagai tebusan dengan sengaja merosakkan pam air sendiri semata-mata untuk menghalalkan projek pembinaan empangan kita. Akibatnya hampir sebulan rakyat Kuala Lumpur dan Selangor yang memilih pembangkang hilang punca air. Selepas beberapa NGO berjaya membuktikan jenayah mereka itu, LAWAS telah beberapa kali kalah saman di mahkamah. Sampai kencing tak lawas pemilik syarikat itu membayar saman. Paling teruk, parti kita masih kalah di sana. Ini disebabkan oleh kemarahan rakyat kerana terlibat merancang agenda tersebut", tegas beliau mematikan sebarang hujah.

Semua hadirin kembali senyap dan sunyi. Sebenarnya negara ini sudah habis punca pendapatannya. Minyak sudah lama kering, balak sudah lama habis ditebang. Kalau tidak itulah punca kekayaan kami. Manakala hampir semua perkhidmatan telah diswastakan termasuklah pendidikan. Malah perkhidmatan kerajaan semuanya telah diswastakan bermula dengan perkhidmatan ICT di Negeri Sembilan. Kemudiannya konsep ini dibawa ke baki 4 negeri yang masih ditadbir oleh parti kami.

Sekarang hampir 1 jam suasana senyap sunyi ini. Masing-masing dengan gaya berfikir tersendiri. Perdana Menteri yang semakin botak kelihatan menggaru-garu rambutnya yang masih ada. Agaknya semua mencari jalan dengan punca pendapatan semasa seperti keranda terbang kereta nasional, tambang penerbangan mencekik darah ataupun khidmat monorel yang lambat macam siput. Yang pasti semua itu akan menemui satu titik yang sama. Buntu.

Terasa bosan dengan keadaaan itu, aku mengangkat tangan.

"Dato' Seri, saya mencadangkan agar kita menswastakan bekalan oksigen. Apa kata Dato' Seri?", soalku sambil tersengih. Terasa bodoh dengan cadangan sendiri.

Tiba-tiba bilik itu menjadi riuh. Masing-masing meluahkan pendapat sendiri.

"Bagus idea Dato' itu", sambil merujuk kepada aku. "Saya mahu semua pihak yang berkaitan untuk memastikan idea ini direalisasikan dengan cepat. Menteri Perundangan, minta kemukakan cadangan akta oksigen negara untuk kita bentangkan di Parlimen. Kita masih majoriti, jadi jangan risau ianya pasti lulus. Dato' Menteri Kerja Raya kaji bagaimana untuk menutup ruang udara kita dan menjadikan seluruh negara ini sebagai satu ruang vakum yang besar. Menteri Kesihatan sila dapatkan kos untuk melaksanakan penjualan tong dan topeng oksigen kepada rakyat". Menteri Penerangan pula diminta untuk melaksanakan kempen secara halus untuk memastikan rakyat terus ditipu.

Sekarang beliau kembali tersenyum. Nampak puas dengan cadangan bangang aku dan kepantasan dirinya berfikir. Rambutnya pun nampak tumbuh semula. Mungkin dia ketawa dalam hati fikirku.

Mesyuarat tamat, masa untuk mengambil tindakan. Sambil melangkah ke kereta aku berkata dalam hati, "Damn!! Tekono laie korang".

Gambar hiasan sahaja

p/s : penulisan ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang telah dan masih hidup ataupun yang telah dan masih mati.

-----------------------------
*Anda rasa entry ini bermanfaat untuk orang lain. Jika ya, sila kongsi dengan menggunakan button share di bawah.
ATAU
*Tinggalkan komen di ruangan ini sekiranya anda ada sebarang pertanyaan, telah mencuba tutorial/tips/pandangan saya ataupun sekadar ingin meluahkan pendapat anda. Saya akan cuba respon dengan secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment