February 21, 2012

Merevolusikan pendidikan negara...Mampukah kita?

#1 : Pendidikan percuma; Masih jauh atau sudah hampir?

Isu pendidikan percuma ini bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Selepas pembentangan bajet 2008, Tun Abdullah Badawi, perdana menteri ketika itu mengumumkan pendidikan percuma melalui penghapusan yuran sekolah. Bagaimanapun yuran yang dihapuskan hanya berjumlah RM4.50 dan telah digantikan dengan yuran lain yang lebih membebankan. Terkini, DS Najib melalui bajet 2012 kembali dengan isu penghapusan yuran ini. Kali ini pihak sekolah pula diminta untuk membuat pilihan di dalam pakej Bayaran Tambahan (PBT) yang juga lebih membebankan dari sebelumnya.

Pakej Bayaran Tambahan (PBT)
Inikah bentuk pendidikan percuma yang kita mahu?

Maksud pendidikan percuma dari wiki ialah “Free education refers to education that is funded through taxation, or charitable organizations rather than tuition fees". Bermaksud pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah hasil daripada kutipan cukai dan sumbangan organisasi (korporat, NGO).

Mampukah pemerintah menanggung kos jika pendidikan percuma yang diberikan adalah dari pra sekolah, rendah, menengah dan peringkat universiti?

Untuk rujukan, kesemua negara Scandinavia telah melaksanakan pendidikan percuma ini. Malah di Norway dan Finland, pendidikan percuma juga diberikan kepada warga asing di peringkat universiti walaupun mereka tidak mendapat keistimewaan elaun bulanan dan kemudahan pinjaman. Manakala di Sweden, yuran dikenakan kepada pelajar yang berasal dari luar Eropah sahaja. Di Brazil, Greece dan Brazil pula melaksanakan pendidikan percuma di semua peringkat pelajaran. 

Bukan sahaja negara-negara maju seperti Jerman, malah negara membangun seperti Sri Lanka, Libya dan Cuba juga menawarkan pendidikan percuma kepada rakyat mereka. Malah, hampir semua negara pengeluar minyak menawarkan sistem pendidikan percuma di semua peringkat untuk rakyatnya. Contoh yang terdekat ialah Brunei.

Mungkin pelajaran percuma masih jauh untuk dilaksanakan di Malaysia untuk dilaksanakan di semua peringkat pendidikan, tapi usaha awal perlu dilakukan . Untuk permulaan boleh dilaksanakan di peringkat rendah memandangkan kos pelajaran, peperiksaan, ko kurikulum dsb, masih belum tinggi. Penghapusan yuran peperiksaan utama (kecuali MUET) yang dilakukan sejak 2007 adalah satu langkah yang baik dan boleh menjadi batu asas pendidikan percuma. 
 
Langkah seterusnya boleh dibuat di peringkat menengah dan universiti. Di peringkat universiti penghapusan yuran dan pemberian subsidi buku rujukan boleh dilaksanakan. Pelajar hanya perlu mengeluarkan belanja untuk sara hidup tanpa memerlukan bantuan biasiswa kerajaan ataupun pinjaman PTPTN lagi. Dengan ini jumlah penghutang muda dapat dikurangkan atau dihapuskan sepenuhnya.

Cabaran : Kos pelaksanaan. Jika kos yang perlu ditanggung pemerintah terlalu tinggi, pelaksanaan dalam 3 peringkat iaitu percuma untuk golongan miskin, 50% untuk golongan sederhana tinggi dan 100% untuk golongan kaya boleh dilaksanakan. Dengan cara ini beban pemerintah dapat dikurangkan di samping dapat membantu pengaliran kekayaan dari yang kaya kepada yang miskin dan seterusnya merapatkan jurang miskin-kaya.

Itu pendapat saya, apa pendapat anda pula? Sebarang cadangan dan komen amatlah dialu-alukan.

p/s : perkataan 'pemerintah' ditekankan kerana pendidikan adalah tanggungjawab pemerintah. Pendidikan percuma bukanlah subsidi !!!

Akan bersambung.....

-----------------------------
*Anda rasa entry ini bermanfaat untuk orang lain. Jika ya, sila kongsi dengan menggunakan button share di bawah.
ATAU
*Tinggalkan komen di ruangan ini sekiranya anda ada sebarang pertanyaan, telah mencuba tutorial/tips/pandangan saya ataupun sekadar ingin meluahkan pendapat anda. Saya akan cuba respon dengan secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment