April 6, 2009

+ Hikayat Sang Superman +

gambar hiasan sajo...kredit to igamer.deviantart.com

Arakian tersebutlah kisah di sebuah negeri yang dinamakan Kripton terletak jauh di utara. Adapun negeri ini diperintah oleh Seri Paduka Tuanku Jor-El yang kacak bistari bersama permaisuri tercinta, Lara Lor-Van. Kripton merupakan sebuah negeri yang mahsyur seantero nusantara dengan kekuatan tentera yang terbilang serta hasil mahsul bumi yang kaya tidak terperi. Gemilangnya empayar ini sehinggakan menjadi bahan cemburu Siam dan Majapahit.

Namun mentari bersinar tidak lama, malapetaka datang tanpa diundang. Tuanku Jor-El sebagai pemimpin yang peka menyedari akan bencana yang bakal melanda, satu bencana yang mampu meruntuhkan empayar tanpa sisa. Kegembiraan menyambut kelahiran putera sulung nyata tidak dapat memadamkan api keresahan di dada baginda. Pemberontakan tiba-tiba berlaku yang menentang pemerintahan baginda dan menolak mentah-mentah mengenai ramalan baginda mengenai kemusnahan yang bakal tiba. Tanpa mengendahkan hal lain lagi, baginda bersama memanda menteri dan hulubalang negeri yang masih setia cuba mencari jawapan untuk menyelamatkan Kripton. Namun putus upaya mereka.

Tuanku Jor-El nekad, baginda mahu setia di Kripton mencari penyelesaian sehingga ke titisan darah yang terakhir. Bagaimanapun, baginda mahu legasi baginda diteruskan oleh putera sulung yang dinamakan Putera Mahkota Kar-El. Dengan kuasa terus mata baginda, diramalkan putera ini akan menjadi penyelamat suatu bangsa yang lain. 

Maka dihanyutkan Kar-El di dalam sampan ke tengah laut. Setelah beroleng-oleng dan dilambung ombak sekian lama, maka terdamparlah Kar-El di sebuah perkampungan petani yang dikenali sebagai Desa Smallville. Ditakdirkan tuhan, Kar-El ditemui oleh pasangan Pak Kent dan Mak Kent yang baik hati tetapi belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah lama mendirikan rumahtangga.

Maka ditatanglah putera itu bagaikan minyak yang penuh dan dinamakan Clark bin Kent. Diberi cukup kasih sayang dan juga didikan agama yang sempurna supaya kelak menjadi anak yang soleh dan berguna kepada masyarakat. Maka membesarlah Kal-El, seorang bangsawan di tengah rakyat marhaen di Desa Smallville. 

Jenuh pancaroba dihadapi mendewasakan dan mematangkan diri Kal-El. Kekuatan yang diwarisi turun-temurun dilatih dengan  baik sehinggakan diriwayatkan Kal-El mampu meniup salju kedinginan dari nafasnya, panahan asmara berapi dari lirikan matanya serta  seluruh badan sekeras waja, diulang 'seluruh badan' dan juga kekuatan seumpama 40 orang penyamun selain daripada mampu terbang dan bergerak sepantas cahaya.

Setelah dewasa, Kal-El bekerja sebagai seorang wartawan di Kota Metropolis. Dengan kerjaya ini, Kal-El mampu mendapatkan berita terkini dan sensasi secara pantas dan tepat. Nasihat ibu bapa angkatnya supaya sentiasa membantu sesama manusia dengan kudrat yang ada diamalkan Kal-El dengan sempurna. Maka dengan kesedaran fesyen yang tinggi, Kal-El telah mencipta pakaian yang tidak menjadi ikutan ramai iaitu gabungan warna biru dan merah serta pemakaian seluar dalam di luar untuk melindungi identiti Clark Kent. Dengan ini barulah Kal-El boleh membanteras jenayah dengan bebasnya. 

Maka amanlah dunia, berkat bantuan dari Kal-El yang dikenali ramai sebagai Superman. (To be continued)

1 comment:

  1. hebat betul kal el ni kan.mmg sah takde org nak tiru spender kat luar.

    ReplyDelete